IPOH: “Nak abah, nak mama,” itu perkataan diucapkan berulang kali oleh Fatiha Shaiful Fadzilah, 4, yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan ibu dan bapa serta dua abang kembarnya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di Kilometer (KM) 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berdekatan Slim River itu, empat beranak terbabit maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki dirempuh sebuah treler dari belakang.


Mereka yang terbunuh ialah Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya, Siti Suzana Mohd Noor, 33, dan anak kembar mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun manakala dua lagi anak mereka iaitu Firdaus, 8, dan Fatiha, cedera.

Ibu saudara Fatiha yang juga adik bongsu Shaiful Fadzilah, Nor Azizah Shahar, 23, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, Fatiha ditempatkan di Wad Kebakaran hospital itu pada awal pagi semalam bagi rawatan susulan akibat kecederaan serta melecur di tangan kiri.


Nor Azizah berkata, abangnya tidak merancang pulang ke kampung sebelum ini, namun mengubah keputusan itu dan memaklumkan kepada keluarga di Kampung Gua Badak, Lenggong dari rumah mereka di Taman Ekamatahari, Labu, Seremban, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

“Sebelum ini, arwah pernah memaklumkan dia sekeluarga tak jadi balik berikutan kekangan kerja, namun mengubah keputusan itu pada saat akhir.

“Dia memaklumkan kepada kami sebelum bertolak pulang ke kampung. Bagaimanapun, selepas menunggu sehingga jam 2 pagi, tapi mereka belum tiba membuatkan kami sekeluarga curiga,” katanya.


Nor Azizah menghubungi Shaiful Fadzilah kira-kira jam 4 pagi untuk mengetahui keadaan mereka sekeluarga, namun tiada jawapan sebelum dihubungi polis lima minit kemudian memaklumkan arwah sekeluarga terbabit kemalangan ngeri menyebabkan dia bergegas ke Hospital Slim River.

Menurutnya, arwah abangnya ada merancang mengkhatankan anak kembarnya itu di kampung memandangkan ketika ini musim cuti sekolah selain menyambut Aidiladha.


“Kali terakhir saya menemui mereka sekeluarga pada Aidilfitri lalu,” katanya sebak.


Sementara itu, tinjauan di HRPB mendapati Fatiha masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan dia kerap kali meracau serta menangis sambil memanggil ibu dan bapanya.


Kanak-kanak malang itu belum dimaklumkan kematian ibu dan bapa serta abang kembarnya.


Abang sulung Fatiha, Firdaus pula masih dirawat di Hospital Slim River kerana cedera di kaki manakala keempat-empat ahli keluarganya yang meninggal dunia dalam nahas itu dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga, petang semalam.


Semua jenazah empat beranak itu dikebumikan di kampung kelahiran Shaiful Fadzilah di Kampung Gua Badak, Lenggong, petang semalam.




Ana ckp tersentuh dgn berita ni...walaupun byk lagi kes begini...di kala dri rasa sendirian...namun berita ni menguatkan lagi tanda kesyukuran pada Allah atas segala nikmat yg telah Allah berikan...jika kt diuji...ada org lain yg diuji lbh teruk lagi...malah diuji ketika msh lagi kecil...tak mengetahui dgn lebih mendalam tentang kehidupan...yg sgt2 memerlukan kasih sayang ibubapa...terlalu besar tamparan....dikala kedua ibubapa meninggal di depan mata...smg Allah cucuri rahmat keatas kedua ibubapa budak ini...dan menempatkan di kalangan org yg beriman...insyaAllah....


sama2 koleksi diri...muhasabah diri...syukurlah dgn stp yg Allah berikan...jika Allah ambil sesuatu..Allah akn gantikan dgn lbh baik lagi...semua sbg tarbiyyah dlm diri...kekuatan aqidah pd Allah...