Harakah Islamiyyah sedunia sependapat betapa besarnya peranan tarbiyah

dalam menjamin kemurnian dan memahami matlamat Islam sepanjang masa, kerana

pergantungannya yang kuat dari aspek tarbiyah dan memenuhi syarat-syarat

kemenangan kepada janji Allah SWT.


Tujuh elemen-elemen penting tarbiyyah:-


1-Tarbiyah Ruhiyyah :

Iaitu mendidik ahli supaya iltizam dengan amalan ibadah sehingga dapat

merasakan kelazatan hasil mengerjakan ibadah itu serta dapat mencari

kekuatan hati melaluinya. Juga untuk mempertingkatkan muhasabah dan

muraqabah sebagai paksi kepada gerakerja yang baik, menanamkan kesabaran

yang tinggi dalam amal jamaie, sensitif kepada dosa dan mungkar, bersemangat

jihad dan bercita-cita untuk syahid.


2-Tarbiyah Thaqafiyyah :

Menanamkan budaya membaca (tidak dihadkan kepada buku-buku haraki sahaja

tetapi meluaskan skop bahan bacaan), berjumpa dengan tokoh-tokoh ilmuwan,

menghadiri persidangan-persidangan dan seminar-seminar akademik dan sosial,

membudayakan perbincangan di kalangan ahli dengan tidak menunggu hanya pada

waktu usrah atau tamrin sahaja supaya ahli mempunyai daya intelektual yang

tinggi dan berpengetahuan am yang luas.


3-Tarbiyah Harakiyyah :

Melengkapkan ahli dengan ilmu teknik-teknik pengurusan moden, di samping

konsep-konsep dan adab-adab berjemaah yang lain.


4-Tarbiyyah Siasiyyah :

Meningkatkan pengetahuan dan pembacaan politik mengenai perkembangan politik

tempatan dan antarabangsa, di samping memahami konsep dan falsafah khilafah

Islamiyyah dan kepimpinan ulama' yang lebih mendalam dan praktikal kepada

dunia semasa.


5-Tarbiyyah Kendiri (Self-Development) :

Mengenalpasti dan mengembangkan potensi individu-individu ahli yang matang

dalam sikap, tindakan dan keputusan, berfikiran kreatif, kritikal,

analitikal dan terbuka, bermotivasi tinggi, berakhlak baik dan terpuji,

bersikap berani, berkeyakinan diri dan 'adaptable' dalam semua suasana dan

keadaan.


6-Tarbiyyah Badaniyyah (Jasmani) :

Melatih ahli memberi perhatian kepada kesihatan badan, mempunyai kecergasan

dan stamina yang tinggi, menjalani latihan fizikal untuk membentuk generasi

yang tahan lasak dan bersedia menghadapi usaha-usaha musuh yang mungkin

menggunakan kekerasan.


7-Tarbiyyah Kekeluargaan Islam :

Mendidik ahli dalam memilih calon pasangan hidup yang selari dengan kriteria

yang dikehendaki oleh Islam dan berpengetahuan mengenai pembentukan dan

amalan-amalan keluarga Islam.


Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Siapa yang menjurusi satu jalan untuk

mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan padanya jalan ke syurga." (Sahih

Muslim)


....SAMA2 LAH KITA TARBIYAH DIRI HIASI PERIBADI....